Kesihatan bermula dari rumah

Mahu menyusukan, adakah ibu-ibu telah bersedia?

Posted by on Oct 5, 2011 in Breastfeeding | 0 comments


Selepas kegagalan menyusukan Azyana pada 2006, saya bertekad untuk menyusukan anak-anak yang seterusnya. Selepas mengetahui bahawa saya hamil untuk kali kedua, saya sedaya upaya untuk memenuhkan ilmu mengenai penyusuan. Semasa mengandungkan Azyana, saya sudah membaca banyak buku mengenai penyusuan. Saya fikir dengan membaca saya pasti dapat menyusukan. Kegagalan menyusukan Azyana adalah dari saat dia dilahirkan.


Saya melahirkan Azyana di hospital swasta. Jadi si kecil itu ditempatkan di nursery, manakala saya berehat-rehat di bilik. Pada ketika itu, tidak terdetik langsung difikiran saya untuk meminta bayi dari jururawat yang bertugas. Saya benar-benar terlupa mengenai hal penyusuan. mmm…. Maaf ya. Saya sedang mengingati kembali, apakah sebenarnya perasaan saya ketika itu. Apa yang saya lakukan? Tetapi saya lupa apa yang berlaku dan apa yang saya rasa. 


Hari demi hari semakin banyak perkara berlaku yang menyebabkan Azyana tidak menyusu dengan saya. Saya masih ingat satu ketika Azyana menyusu dengan saya, kemudian dia muntah kembali. Muntah sebanyaknya. Dan perkara itu berlaku sebanyak dua kali. Rasanya ini yang menyebabkan saya berhenti terus dari mahu menyusukan Azyana. Saya mahu, tetapi saya tidak tahu apakah yang berlaku, apakah kesilapan saya ketika itu? 


Adakah saya menyesalinya sekarang? Jawapannya, TIDAK. Berlakunya peristiwa itu telah menjadikan laluan kehidupan saya penuh warna-warni. Kadang kala, saya memikirkan, sekiranya saya berjaya menyusukan Azyana ketika itu, adakah saya akan berada di sini? Berkongsi pengalaman dan rasa bersama ibu-ibu lain? Mungkin tidak, mungkin juga ya. Hanya Allah yang lebih mengetahui.


Bagaimana pula persediaan saya untuk anak kedua? Ketika awal kehamilan, saya bertugas di Melaka. Di sana, saya mula menambah lagi ilmu pengetahuan mengenai penyusuan. Jawatankuasa Penyusuan di Hospital Melaka mengadakan sambutan mengenai minggu penyusuan dengan membuka kaunter informasi. Jadi saya berkenalan dengan jururawat-jururawat yang bertugas. Tidak sempat pula mahu berkenalan dengan Sister Menaka! Setiap kali lalu di hadapan kaunter, saya pasti ambil pamplet. Bila pamplet sudah banyak di tangan, saya letak ia bersepah-sepah di rumah mak. 🙂 hehehe… Senang, bila duduk di ruang tamu, nampak. Di bilik nampak. Bahkan di dapur pun ada! Saya tampal pada pintu peti ais.


Bila dapat bertugas di Serdang, baru saya dapat kembali kepada dunia online. Saya memulakan kembali sesi cari-mencari di internet. Ketika itulah saya terjumpa dengan SusuIbu.com. Alhamdulillah. Perkongsian ilmu di sana memberi pencerahan yang sangat sempurna. Walaupun lebih berkeyakinan kali ini, saya tetap membawa Azzalea berjumpa dengan Kak Kamariah untuk memastikan latch si kecil betul. Tiada masalah pada posisi dan sebagainya. Syukur, penyusuan bersama Azzalea berlangsung sehingga dia berumur satu tahun lima bulan. Saya tidak pernah terfikir untuk menyusukan dia selama itu.


Dari cerita saya, ada beberapa perkara yang ibu-ibu, mahupun bakal ibu perlu ambil perhatian :
1. Persediaan mental dan fizikal
2. Menyiapkan suami, mak, mak mertua dan ahli keluarga yang lain
3. Mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku satu situasi
4. Sentiasa menambah ilmu kerana ilmu mengenai penyusuan tidak terhenti di sini.

Saya nak berkongsi satu buku dengan para ibu.



Saya selalu mencadangkan buku ini kepada rakan-rakan. Namun sayang, ia sedikit sudah untuk ditemui di sini. Di dalam buku ini, Sue Cox telah memberi cadangan apa yang perlu dilakukan oleh kedua ibubapa sekiranya mereka mengalami situasi. Contohnya kelahiran anak pra-matang, anak lahir istimewa dan sebagainya. 

Persedian dalam penyusuan perlu dilakukan pada setiap arah. Sokongan dari semua pihak teramat penting. Semua orag disekeliling ibu dan bayi perlu mengambil perhatian tambahan. Saya mendoakan supaya ibu_ibu dapat menyusukan bayi mereka!


Emel saya di ibuaz.shoppe@gmail.com untuk mengetahui maklumat lanjut. Hanya kita yang mampu mengubah nasib kita.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *