Kesihatan bermula dari rumah

Persediaan Penyusuan Ibu

Posted by on Nov 18, 2011 in Breastfeeding | 0 comments

ARTIKEL INI DIBAWAKAN OLEH KUMPULAN SOKONGAN PENYUSUAN SUSU IBU HOSPITAL SERDANG


Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia.

Persediaan Kelahiran dan Penyusuan

Umum sudah tahu dan memahami mengapa susu ibu baik buat ibu dan anak. Membuat keputusan untuk menyusukan tidak datang begitu sahaja. Ada ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka disebabkan oleh faktor ekonomi. Ada yang menyusukan kerana mereka mahukan yang terbaik buat si kecil. Ada juga yang mahu menyusukan disebabkan oleh kegagalan menyusukan bayi yang sebelumnya. Walau apapun faktor yang menyebabkan mereka mahu menyusukan bayi mereka, ia tetap perlu dihormati. Adalah penting untuk menggalakkan ibu-ibu yang sedang hamil untuk membuat keputusan untuk menyusukan bayi mereka dan seterusnya membantu mereka menyiapkan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang tempoh penyusuan buat si kecil. Walaupun penyusuan ibu seharusnya berlaku secara alami, namun tidak dapat dinafikan terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi penghalang buat si ibu untuk meneruskan penyusuan. Oleh sebab itu, beberapa persedian perlu dilakukan dari awal kehamilan dan seterusnya semasa penyusuan.


Persediaan sebelum kelahiran dan penyusuan

Bakal ibu dan bapa perlu menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai kelahiran dan penyusuan setelah mereka mendapat berita bahawa mereka akan menimang cahayamata. Bakal ibu dan bapa boleh menghadiri pelbagai majlis ilmu seperti Perjumpaan Kumpulan Sokongan, Kelas Kelahiran atau Kelas Penyusuan untuk mendapat ilmu mengenai kelahiran atau penyusuan. Terdapat juga banyak laman sesawang yang boleh dijadikan sumber rujukan.

Persediaan mental sangat penting kerana bayi yang bakal lahir merupakan insan yang tidak mengerti apa-apa dan memerlukan penjagaan rapi dari ibubapa. Oleh itu, bakal ibu dan bapa perlu bersedia untuk menjaga bayi tanpa mengira waktu. Bakal ibu dan bapa juga perlu kuat dan tabah. Sebagai contoh dalam penyusuan, kita mungkin akan memberikan susu artifisial jika si kecil kerap menangis. Persediaan dalam pemilihan hospital juga penting. Sebaiknya untuk memilih hospital yang dapat membantu bakal ibu dalam menghadapi detik-detik penyusuan awal. Pilihan boleh dibuat dengan mencari maklumat dari internat atau bertanya dari teman-teman yang pernah bersalin di hospital berkenaan.

Antara persediaan awal yang boleh dilakukan ialah pelan kelahiran. Pelan kelahiran ialah perjanjian bertulis di antara bakal ibu dan doctor. Di dalam pelan tersebut, bakal ibu boleh menyenaraikan perkara-perkara yang dikehendaki semasa dan selepas proses kelahiran. Pelan ini perlu dipersetujui dan dihormati.


Persedian semasa kelahiran dan penyusuan

Memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam selepas kelahiran adalah amat penting buat si kecil. Susu awal yang keluar dinamakan kolustrum. Bayi yang mendapat kolustrum akan memperoleh perlindungan maksimum dari sebarang jangkitan. Pelan kelahiran boleh digunakan untuk memastikan proses penting ini Berjaya dilalui oleh bakal ibu. Bakal ibu juga jangan segan-sagan untuk mengingatkan jururawat atau doktor mengenai keinginan ibu untuk menyusukan si kecil pada jam yang pertama. Bakal bapa juga memainkan peranan yang penting buat si ibu dalam memastikan perjalanan proses penyusuan si kecil berjaya. Sokongan padu dari suami amat diperlukan oleh isteri. Memahami peranan masing-masing dapat membantu melancarkan proses dan seterusnya membenarkan proses itu berlaku dengan aman dan harmoni. Selain daripada suami. Sokongan dari keluarga dan sahabat handai juga amat penting.

Persediaan selepas kelahiran dan penyusuan
Mitos sememangnya sebati dalam adat setiap masyarakat. Dalam menjayakan proses penyusuan, si ibu serta bapa perlu tahu untuk membezakan di antara fakta dan mitos. Emosi juga memainkan peranan yang penting. Si ibu perlu belajar untuk mengawal emosi dalam menghadapi sebarang peristiwa yang berlaku semasa proses penyusuan  berlangsung.

Kesimpulannya, persediaan merupakan elemen terpenting bagi membolehkan bakal ibu memberikan yang terbaik buat si kecil. Dengan segala persediaan dan persiapan yang dibuat, penyusuan tidak lagi mustahil.


Selamat menyusukan si kecil anda!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *